TAYAR DAN KEMALANGAN


Tayar import dan tempatan terpakai, tayar musim salji dan tayar tamat tempoh tidak selamat untuk pengguna

SETIAP kali menjelang musim perayaan, sering kedengaran meningkatnya statistik kemalangan jalan raya ketika pulang ke kampung halaman. Pelbagai punca kemalangan diperkatakan, antaranya faktor bertambahnya kenderaan ketika waktu puncak, kelalaian manusia dan kerosakan kenderaan.

Menariknya mungkin tidak ramai yang menyedari ketika mereka sibuk menyelenggara kenderaan termasuk menukar tayar menggantikan lama yang sudah kehabisan bunga atau ‘botak’, ada yang gemar memilih jalan singkat tetapi penuh berisiko menggunakan tayar murah seperti tayar toreh.



Istilah tayar toreh atau korek sememangnya sinonim dengan pemilik kenderaan yang gemar mendapatkan tayar bajet, sedangkan mereka sebenarnya menggadai nyawa menggunakan tayar itu, apatah lagi untuk digunakan dalam perjalanan jauh dengan kapasiti muatan maksimum.


Selain tayar toreh, empat jenis lagi tayar yang dikategorikan sebagai kurang selamat ialah tayar import terpakai, tayar terpakai tempatan, tayar musim salji dan tayar tamat tempoh penggunaannya (lebih empat tahun).

Ada juga yang mengaitkan penggunaan tayar celup tidak selamat, tetapi tanggapan itu sebenarnya tidak tepat bahkan boleh mengelirukan pengguna untuk membezakan apa yang dikatakan tayar celup dan tayar toreh.


Pekerja kilang Sun Tyres Industries Sdn Bhd menunjukkan contoh tayar rosak sebelum proses tayar celup dilakukan.


Sesetengah beranggapan kedua-duanya sama tetapi hakikatnya ia jauh berbeza kerana tayar celup mendapat kelulusan Sirim tetapi tayar toreh disahkan tidak boleh digunakan kecuali pada kenderaan perdagangan yang mempunyai logo atau tanda ‘regroovable’.

Bahkan proses pembuatan dan kandungan bahan kedua-dua jenis tayar ini jauh berbeza, jadi risikonya sudah tentu tidak sama.

Secara umumnya, tayar toreh ialah tayar terpakai yang digunakan semula dengan membentuk semula corak atau bunga pada tayar berkenaan menggunakan pisau khas yang dipanaskan, sebelum digilap dan dijual dengan harga cukup murah, dianggarkan RM40 sebiji.

Sekali pandang, penampilannya seakan-akan tayar baru tetapi awas, sikap berjimat tidak bertempat ini perlu dielak, jangan terlalu utamakan barang murah dengan mengenepikan aspek keselamatan. Sikap ini perlu dikikis kerana hanya dengan sedikit maklumat berguna, ia mampu menyelamatkan banyak nyawa.


Kemalangan disebabkan penggunaan tayar rosak.
Bayangkan, sebiji tayar terpakai mempunyai ketebalan 6 milimiter (mm) dan dikorek sebanyak 3 mm untuk membentuk aliran bunga baru, jadi yang tinggal cuma 3 mm. Pada tahap itu, ia cukup nipis dan berisiko untuk pecah dalam apa juga situasi apatah lagi jika digunakan dengan kelajuan maksimum.

Pengguna perlu peka, setiap tayar terpakai kebiasaannya sudah mencapai tahap penggunaan maksimum iaitu menyamai atau melepasi Tanda Paras Amaran (TWI) ketebalan tayar. Bayangkan, tayar itu digunakan semula, dikorek membentuk corak baru, sudah pasti akan mengundang padah.

Namun, lain pula ceritanya dengan tayar celup iaitu tayar terpakai yang dikitar semula dengan bahan kandungannya berbeza dengan tayar korek.

Tanggapan yang mengatakan ia tidak selamat perlu diperbetulkan kerana pembuatan tayar celup melalui pemeriksaan, kawalan dan ujian ketat sebelum dipasarkan. Biasanya tayar celup boleh diulang celup beberapa kali bergantung kepada cara atau corak pemanduan serta ketahanan strukturnya.

Dianggarkan hanya ada 10 pengeluar tayar celup di Malaysia dan satu daripadanya yang diiktiraf dan mendapat kelulusan Sirim ialah Sun Tyre yang mengeluarkan jenama Suntex, Winner, Autoways dan Trakar yang memenuhi spesifikasi MS:224:2005.

Perlu diketahui, tayar celup yang diiktiraf mesti mempunyai tulisan MS (Malaysian Standard), DOT (Department of Transport) atau E (European) pada tayar berkenaan. Harga pasarannya juga adalah rendah antara 50 hingga 70 peratus berbanding harga tayar baru.

Setiap tayar baru diwajibkan mempunyai tanda MS, begitu juga dengan pengeluar tayar celup yang wajib mendapat kebenaran Sirim untuk meletakkan tanda MS pada tayar keluaran mereka.

Pengurus Kanan Sun Tyre, Jacky Tim menjelaskan, proses membuat tayar celup perlu melepasi tujuh tahap ditetapkan dan kesemua proses itu dipantau teliti bagi memastikan ia selamat digunakan, dipercayai dan berkualiti tinggi.

“Bukan semua tayar terpakai boleh dijadikan tayar celup kerana ia perlu melepasi pemeriksaan awal, jika tidak layak, ia akan disingkirkan.

“Proses pembuatan tayar celup memerlukan penelitian maksimum termasuk pemilihan bingkai tayar (casing) berkualiti, pengimbasan sempurna menggunakan sistem pengujian tayar, membaik pulih kebocoran permukaan dan pemeriksaan kualiti.

“Tayar yang mempunyai gelungan dawai halus didalamnya akan dikekalkan, cuma diperbaiki dan ditampal lapisan tayar baru. Sebab itu saiz ketebalannya masih sama, jauh berbeza dengan tayar toreh yang diukir semula corak pada tayar terpakai tanpa sebarang usaha membaik pulih,” katanya.

INFO: Proses membuat tayar celup
1) Pemeriksaan awal
2) Meratakan
3) Memperbaiki
4) Menampal
5) Membina
6) Memulih
7) Pemeriksaan akhir.

Tanda wajib pada tayar celup:

•Mengekalkan tanda asal pada dinding tayar (contoh: had kelajuan, saiz lebar, had muatan)
•Tanda MS
•Tarikh celup tayar
•Jenama pengilang.

Tayar terpakai perlu jalani ujian

TAYAR terpakai yang ingin dijadikan tayar celup akan menjalani beberapa proses berperingkat bermula dengan pemeriksaan awal iaitu diuji sama ada sesuai untuk dicelup atau tidak. Proses ini memastikan tayar bebas daripada sebarang kecacatan yang tidak dapat diperbaiki atau rosak teruk.

Saya berpeluang melihat sendiri proses membuat tayar celup di kilang Sun Tyre Industries Sdn Bhd di Senawang, Negeri Sembilan dan membuat kesimpulan mudah, iaitu produk dihasilkan sememangnya melalui banyak tapisan dan saringan bagi menghasilkan tayar bermutu dan diiktiraf Sirim.

Proses bermula dengan ratusan tayar terpakai dihantar ke kilang, diperiksa termasuk melalui mesin pengimbas (X-Ray) bagi meneliti kerosakan serta kecacatan yang tidak boleh dilihat secara mata kasar, termasuk permukaan dalaman yang mempunyai gelembung kecil atau dawai tidak selari.

Tayar yang rosak disingkirkan dan tayar terpilih sekali lagi diperiksa oleh operator sebelum dihantar ke proses seterusnya. Tayar itu akan diratakan, membuang bunga asal menggunakan mesin mengikut tahap ditetapkan. Permukaan yang selesai dibuang bunga mestilah berkeadaan rata dan kasar.

Pengurus Kanan Pengeluaran Sun Tyre, Peter Chuah Lim Siew, berkata tayar yang sudah diratakan akan diperbaiki termasuk menampal lekukan kecil pada luaran.

“Pada peringkat ini, jika ada tayar yang rosak atau tidak layak dicelup, ia juga akan disingkirkan. Seterusnya ialah proses menampal satu lapisan getah rata bersalut gam yang akan dilekatkan pada bahagian luar tayar yang diratakan. Lapisan getah yang dilekatkan itu perlu mendapat kelulusan.

“Kedua-dua akan ‘disatukan’. Tahap ini juga membabitkan proses mould cure dan precured. Mould cure menggunakan bahan getah campuran manakala precured membabitkan penggunaan lapisan bunga tayar baru yang dilekatkan gam pada permukaan yang diratakan,” katanya.

Dalam proses mould cure, satu lagi lapisan getah akan digunakan dan dimasukkan ke dalam mesin khas untuk membentuk corak bunga tayar. Bagi proses precured, tayarnya juga dimasukkan ke dalam mesin untuk melengkapkan proses membentuk tayar sempurna. Proses pemeriksaan akhir juga penting bagi memastikan produk mengikut piawaian ditetapkan.

Berbanding tayar korek, prosesnya cukup mudah, membersihkan tayar dan membentuk semula corak menggunakan pisau kecil yang dipanaskan walaupun tayar terpakai itu sudah botak dan melepasi tanda paras amaran botak (TWI).

Bagi memastikan kualiti tayar dihasilkan sentiasa mematuhi piawaian, Sun Tyre juga menjalankan penyelidikan sendiri di makmal mereka dalam menetapkan tahap kualiti serta mencari formula terbaik.

Puspakom kesan tayar tidak ikut spesifikasi

SETIAP tahun, dianggarkan tiga juta kenderaan menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) termasuk kenderaan perdagangan dan persendirian.

Statistik menunjukkan 30 peratus (900,000) daripadanya gagal ujian pemeriksaan atas pelbagai kesalahan. Menariknya, 240,000 daripada kesalahan itu berpunca daripada masalah tayar yang jelas tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan.

Bayangkan, jika jumlah kenderaan yang gagal itu dibiarkan beroperasi di jalan raya, ia sebenarnya mengundang padah, bukan saja kepada pemandu tetapi pengguna jalan raya lain sekiranya tayar pecah atau meletup ketika kenderaan sedang bergerak laju.

Itu belum dikira jumlah lebih lapan juta kenderaan persendirian berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak wajib menjalani pemeriksaan di Puspakom. Jika ada pemiliknya bersikap sambil lewa, mengabaikan pemeriksaan tayar, sudah tentu risiko berlaku kemalangan sangat tinggi.

Ketua Pegawai Operasi Puspakom, Raja Mahmud Shah Al-Haj, berkata tayar adalah perantara yang menghubungkan kenderaan dengan permukaan jalan dan ia dikategorikan sebagai ‘item keselamatan’ yang mesti diutamakan, sama fungsinya seperti brek.

“Tayar gagal ujian biasanya disebabkan keadaan bunga tayar yang sudah nipis kurang daripada ketinggian 1.6 milimeter (mm). Dalam erti kata lain, tayar itu sudah botak tetapi jika saiz tinggi bunga tayar masih baik, kami akan pastikan ia mestilah meliputi 75 peratus daripada keseluruhan tayar.

“Jika kedua-dua aspek itu lulus, kita akan periksa keadaan dinding tayar, pastikan tiada kesan terkopak yang menjejaskan kualiti dan mudah pecah. Sebab itu Puspakom tetapkan kenderaan perdagangan mesti diperiksa di sini setiap enam bulan sekali,” katanya.

Info: Definisi tayar
•Mesti berangin, mampat, ada struktur yang boleh diisi dan dibuang angin
•Konsep - ada tiub dan tanpa tiub tetapi masih menggunakan angin.

Info:
•17 juta kenderaan di Malaysia
•8 juta adalah motosikal
•8 juta adalah kenderaan persendirian
•800,000 adalah kenderaan komersial.
•71 pusat Puspakom di Malaysia (50 pusat tetap dan 21 pusat lawat (tempoh tertentu saja).

HEADLINES NEW


ANDA PASTI TERUJA MENANTIKAN KELUARAN TERBARU PROTON YANG SEMAKIN HEBAT DALAM ERA BARU.


PROTON KELUAR 25 UNIT SATRIA NEO R3 LOTUS RACING EDITION Kuala Lumpur, 30 Mac 2010, Selasa - Proton Holdings Bhd buat permulaannya akan mengeluarkan 25 unit Proton Satria Neo R3 Lotus Racing Edition yang baru di lancarkan. Pengarah Urusannya Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamd Tahir berkata pengeluar kereta nasional itu setakat ini telah menerima 11 tempahan bagi model tersebut. Read more..


LEBIH BERGAYA DENGAN PEMANDUAN LUTOS, KEHEBATAN ANDA TERSERLAH, CIRI KESELAMATAN YANG TERKINI, MEMPERKENALKAN PERSONA ELEGANCE TERBARU DARI PROTON..PANDU UJI LAH PERSONA ELEGANCE HARI INI, UNTUK MEMANDU UJI SILA HUBUNGI SAYA DI TALIAN 013-833 1818....Elegance price here..



As the ‘father of Proton’, its only right that Tun Dr Mahathir’s brainchild occasionally updates him on the progress of the company from time to time. Tun Dr Mahathir probably gets to see lots of stuff happening behind the scenes that will only come to our knowledge months or years later, but thankfully for us he blogs so sometimes we get juicy bits of information. Read more...


EXORA 1.6 MANUAL BASIC LINE HARGA SERENDAH RM 60,148.00 YANG PASTI MEMBUAT KELUARGA ANDA BAHAGIA KEMANA SAHAJA, KERETA KETEGORI MPV PALING MURAH DALAM SEJARAH, DATANG LAH KE BILIK PAMERAN KAMI YANG BERDEKATAN ANDA ATAU HUBUNGI SAYA DI TALIAN 013-833 1818 ATAU EMAILKAN KE : zlihanz18@yahoo.com Click Here for Details



FROST & SILLIVAN : BEST MODEL OF THE YEAR 2008...

NO.1 ASIAN AUTO BOSCH (FUEL EFFICIENCY AWARDS)

LOW MAINTENANCE CAR.. VALUE FOR YOUR MONEY...POWER

Click Here for Details



FOR PROMOTION THIS MONTH INQUIRIES, PLEASE CALL OR SMS TO : ALIHANZ AKOP -HP: 013-833 1818 -EMAIL: zlihanz18@gmail.com